English | Bahasa Malaysia
 
Piagam e-Banking
Untuk Perkhidmatan Perbankan Digital Hong Leong Bank Connect
 
Operasi Keselamatan
Oleh sebab keselamatan adalah sangat penting, kami komited untuk memastikan operasi perkhidmatan perbankan digital Hong Leong Bank Connect (HLB Connect) sentiasa selamat. Kami telah mengatur langkah keselamatan menyeluruh yang kerap diuji oleh beberapa buah organisasi bebas/pakar industri, seperti (tetapi tidak terhad kepada) enkripsi data "256-bit Secure Sockets Layer" (SSL), dinding api dan pengesahan pelayan untuk melindungi keselamatan maklumat dan transaksi anda. Anda hanya dibenarkan mendaftar masuk menggunakan Nama Pengguna dan Kata Laluan HLB Connect anda.
 
Kerahsiaan Data Peribadi Anda
Kami menyedari kebimbangan pelanggan berhubung cara kami mengendalikan maklumat peribadi dan kewangan mereka. Kami mengekalkan standard keselamatan yang ketat untuk mencegah akses tanpa kebenaran kepada maklumat peribadi dan kewangan pelanggan. Sila baca juga tentang Dasar Privasi kami untuk maklumat lanjut.
 
Perkhidmatan Bermutu dan Dipercayai
Kami komited untuk mengutamakan kepentingan pelanggan kami sepanjang masa. Semua staf yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan perbankan digital adalah terlatih dan memiliki kemahiran yang secukupnya untuk menangani sebarang isu keselamatan dan privasi yang dihadapi oleh pelanggan kami.
 
Ketelusan Produk dan Perkhidmatan
Kami komited untuk memastikan sebarang pendedahan produk dan perkhidmatan kami adalah adil dan tepat sepanjang masa. Oleh itu kami tidak akan terlibat dalam membuat perwakilan yang menipu, mengelirukan atau palsu berhubung dengan produk dan perkhidmatan yang kami sediakan.
 
Ketepatan Maklumat
Semua langkah yang wajar akan diambil untuk memastikan data peribadi pelanggan adalah tepat. Jika pada bila-bila masa anda ingin memaklumkan kepada kami bahawa apa-apa maklumat yang ada pada kami adalah tidak tepat, tidak lengkap atau tidak dikemaskinikan, sila maklumkan kepada kami secara bertulis dan menghantarkannya melalui pos atau dengan tangan atau sekiranya perhubungan dilakukan melalui laman web, dengan melengkapkan skrin yang berkaitan dan kami akan mengambil semua langkah yang munasabah untuk membetulkan maklumat supaya ianya tepat, lengkap dan dikemaskinikan.
 
Log Keluar Automatik
Jika anda membiarkan sistem perbankan digital tanpa berbuat apa-apa selama lebih daripada 5 minit, sesi HLB Connect anda akan ditamatkan secara automatik untuk menghalang akses tanpa kebenaran.
 
Petua Keselamatan
Anda memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan sendiri. Anda perlu berhati-hati menjaga kerahsiaan data keselamatan anda (nama pengguna dan kata laluan HLB Connect) pada sepanjang masa. Untuk menjaga keselamatan dalam talian, kami harap dapat melengkapkan anda dengan petua berguna untuk mengelak daripada menjadi mangsa kecurian atau penipuan dalam talian. Sila rujuk Petua Keselamatan Dalam Talian untuk butiran lanjut tentang cara memastikan akaun anda dengan HLC kekal selamat.
 
Maklum Balas Segera kepada Pertanyaan dan Aduan
Kami komited untuk menyediakan anda tahap perkhidmatan paling tinggi dan kami menerima cadangan, ulasan, maklum balas, pertanyaan atau aduan anda berkaitan produk dan perkhidmatan kami dengan tangan yang terbuka. Kami akan melaksanakan usaha yang sewajarnya untuk memastikan langkah yang berkaitan diambil bagi menyelesaikan aduan anda dengan segera.
 
Kami boleh dihubungi melalui e-mel di hlonline@hlbb.hongleong.com.my atau anda boleh hubungi Pusat Panggilan Hong Leong kami di talian 03-7626 8899.